Warisan Datuk Lee Chong Wei Blog Featured Image

Warisan Datuk Lee Chong Wei: Membentuk Badminton Malaysia

Warisan Datuk Lee Chong Wei Blog
701Views

Nama Datuk Lee Chong tentunya tidak perlu diperkenalkan lagi. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa beliau merupakan antara atlet sukan terhebat yang pernah dimiliki oleh negara ini. Beliau telah banyak mengharumkan nama negara di gelanggang badminton dunia. Semangat juang yang dimiliki beliau menyebabkan beliau dikagumi dan pada masa yang sama digeruni oleh lawan. Walaupun sebelum kemunculan Datuk Lee Chong Wei, Malaysia sudah pun memiliki atlet-atlet hebat seperti Datuk Punch Gunalan dan adik-beradik Sidek, Datuk Lee Chong Wei ternyata mempunyai auranya yang tersendiri. Kali ini apa kata jika kita sama-sama telusuri bagaimana bekas pemain badminton nombor satu dunia ini mempengaruhi sukan badminton di negara kita.

Kehidupan Awal

Sebelum pergi lebih jauh lagi, apa kata jika kita telusuri secara ringkas perjalanan karier atlet kelahiran Bagan Serai ini? Mungkin ada yang masih belum tahu, sebenarnya pada peringkat awal, Datuk Lee Chong Wei lebih berminat dengan sukan bola keranjang. Tetapi minatnya ini tidak begitu direstui oleh ibunya. Jadi, bagaimana pula atlet kelahiran 21 Oktober 1982 ini boleh melibatkan diri dalam sukan badminton? Kita seharusnya berterima kasih kepada bapanya yang telah membawanya ke gelanggang badminton untuk berlatih sewaktu beliau berusia 11 tahun.

Bakatnya kemudian mendapat perhatian seorang jurulatih tempatan iaitu Teh Peng Huat. Peng Huat kemudiannya menawarkan dirinya untuk menjadi jurulatih kepada bakal atlet hebat ini. Ketika usianya mencecah 17 tahun, Datuk Lee Chong Wei kemudiannya mendapat perhatian daripada bekas jaguh negara iaitu Datuk Misbun Sidek. Beliau kemudiannya diserap ke dalam pasukan kebangsaan.

Karier Sukan

Seawal usia 17 tahun, lagenda badminton negara ini telah mula memasuki gelanggang antarabangsa apabila menyertai Kejohanan Piala Thomas pada tahun 2000. Nama beliau mula mendapat perhatian setelah berjaya menempatkan diri ke pusingan akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2003. Sejak dari itu, beliau terus mengorak langkah menjadi pemain badminton antarabangsa yang disegani dan digeruni. Sepanjang karier 19 tahun sebagai atlet profesional, Datuk Lee Chong Wei telah banyak mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa. Antara kejayaan terbesar beliau adalah dengan memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak 3 kali iaitu pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan juga Rio 2016.

Tidak cukup dengan itu, bapa kepada dua orang anak ini juga pernah memegang ranking pemain badminton nombor satu dunia selama 349 minggu berturut-turut! Satu pencapaian yang sangat hebat dan belum pernah dimiliki oleh mana-mana atlet badminton dunia sebelum ini. Berkat usaha, komitmen serta pencapaian yang dimiliki, Raja Siri Super ini juga telah berjaya memahat namanya dalam Dewan Kemasyhuran Persatuan Badminton Dunia (BMF) pada Mei 2023.

Musuh Epik

Boleh dikatakan era Datuk Lee Chong Wei merupakan satu era yang paling menarik dalam sejarah dunia badminton. Gelanggang antarabangsa menyaksikan pertarungan sengit antara dua jaguh dunia iaitu antara Datuk Lee Chong Wei serta musuh tradisinya dari China iaitu Lin Dan. Ia merupakan pertarungan yang sering dinantikan oleh bukan sahaja rakyat Malaysia dan juga China, tetapi juga oleh peminat badminton dari seluruh dunia. Daripada 36 perlawanan, Lin Dan telah berjaya menundukkan Datuk Lee Chong Wei sebanyak 25 kali.

Walaupun bermusuh di gelanggang, tetapi dua orang atlet ini masih mampu bersahabat di dunia luar. Mereka berdua saling hormat-menghormati. Ini sudah tentunya merupakan satu contoh yang baik untuk dijadikan ikutan kepada seluruh masyarakat. Bersaing secara sihat untuk berjaya dan ketepikan rasa iri hati terhadap kejayaan orang lain.

Sumber Inspirasi Negara

Datuk Lee Chong Wei merupakan bukti penyatuan rakyat melalui sukan. Seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan juga jantina telah memberikan sokongan penuh kepada atlet hebat ini. Seluruh Malaysia akan berkumpul di dewan badminton mahu pun di depan kaca TV untuk melihat kelincahan dan ketangkasan ikon sukan negara ini di dalam gelanggang.

Datuk Lee Chong Wei merupakan lambang semangat, usaha dan sikap tidak putus asa. Walaupun didiagnosis dengan penyakit kanser hidung, beliau tetap positif dan masih mahu meneruskan usahanya sebagai pejuang negara di arena sukan. Namun, disebabkan oleh nasihat pakar kesihatan, barulah beliau mengambil keputusan yang sangat berat iaitu mengantung raket buat selama-lamanya. Komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh figura hebat ini telah membuatkan beliau menjadi layak dijadikan idola dan juga sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga atlet badminton negara ini.

Mentor Para Atlet

Mahu melihat sukan badminton negara kekal berkembang di gelanggang dunia, atlet hebat ini tidak loket untuk berkongsi pengalamannya selama 19 tahun di gelanggang badminton. Beliau sanggup menjadi mentor dan memberikan nasihat dan panduan kepada para atlet muda negara. Setiap pandangan yang diberikan tentunya boleh memberikan manfaat yang besar kepada para atlet. Ia pastinya akan membantu dalam perkembangan sukan badminton Malaysia. Pandangan veteran legenda sepertinya memberikan makna yang berharga buat para pemain yang masih lagi bergelut dengan tanggungjawab untuk menjadi pemain terbaik sepertinya.

Terbaru, Datuk Lee Chong Wei telah dipilih oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi salah ahli dalam Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM). Beliau bukanlah satu-satunya lagenda badminton negara yang sebagai panel. Panel ini turut disertai oleh 6 lagi bekas lagenda negara iaitu Datuk Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Tan Boon Heong, Koo Kien Keat, Ong Ewe Hock dan Roslin Hashim. Panel yang dianggotai oleh ikon badminton dan juga golongan profesional dalam bidang sukan pastinya akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan sukan badminton negara.

Akademi Badminton Lee Chong Wei

Kecintaannya terhadap dunia badminton tidak dapat disangkal lagi. Datuk Lee Chong Wei terus komited untuk membangunkan sukan badminton tanah air. Beliau tidak mahu negara hanya bergantung kepada BAM semata-mata dalam pencarian bakat dan membimbing atlet badminton tanah air. Pada tahun 2017, beliau telah menubuhkan Akademi Badminton Lee Chong Wei (LCWA). Akademi ini dikendalikan oleh jurulatih yang berpengalaman luas dalam sukan ini. Fokus utamanya adalah untuk menggilap lebih ramai lagi pelapis hebat yang akan menggegarkan gelanggang dunia.

Datuk Lee Chong bercita-cita untuk menggilap bakat badminton bermula dari peringkat akar umbi. Akademi ini dikhususkan untuk bakal atlet yang berusia bawah 18 tahun.

Kesimpulan

Beliau bukanlah lagenda sukan biasa. Beliau merupakan satu kemegahan badminton negara. Semangat juang yang ditunjukkan bukan sahaja menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, tetapi juga kepada para atlet dunia yang lain.

Datuk Lee Chong Wei membuktikan bukan sahaja bakat dan usaha yang diperlukan untuk berjaya. Tetapi juga semangat juang dan juga mental yang kuat diperlukan untuk menempatkan diri di puncak tertinggi.